Langkau ke kandungan utama

SEJARAH INJIL GEREJA PCS RUKOM ULU by Jahani Mathis



BAB 1
ASAL USUL
1.   Bagaimana kampung Rukom Ulu mendapat nama[1]
            Nama kampung Rukom Ulu berasal daripada sejenis pokok iaitu pokok Rukom. Disebabkan pokok ini berduri maka ia diberi nama pokok Rukom. Hal ini kerana, dalam bahasa Rungus rukom bermaksud “berduri”. Pada musim-musim tertentu pokok rukom ini juga akan menghasilkan buah sama seperti tumbuh-tumbuhan yang lain. Buah rukom hanya sebesar seperti biji guli sahaja. Kematangan buah pokok rukom boleh dilihat apabila ia berubah warna, hijau menandakan buah tersebut belum matang manakalah warna hitam menunjukkan bahawa buah tersebut telah matang/masak. Selain itu, buah ini juga selamat untuk di makan tambahan pula rasanya yang begitu manis.
            Apabila tepat pada musimnya pokok rukom ini akan berbuah. Buah rukom yang begitu manis menjadi kegemaran bagi kanak-kanak mahupun orang dewasa. Struktur pokok rukom yang berduri lebat menyebabkan pokok rukom tidak boleh di panjat dan sangat sukar untuk mendapatkan buahnya. Oleh itu, bagi memudahkan pengambilan buah rukom tersebut, orang-orang kampung terpaksa menebangnya. Penebangan pokok rukom berlaku secara berleluasa sehinggakan pokok rukom hampir pupus di tebing sungai tersebut.
            Pokok rukom ini banyak tumbuh di tebing-tebing sungai yang berhampiran dengan sebuah perkampungan[2]. Sungai ini memainkan peranan yang sangat penting khususnya bagi penduduk kampung yang tinggal berhampiran dengan sungai tersebut. Di sini jugalah penduduk kampung memperolehi sumber air dan bahan mentah seperti ikan. Sebelum Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) bertapak di kampung ini, sekitar tahun 70-an air sungai ini sangat jernih dan kaya dengan hidupan air tawar seperti turongou, ruru, koruk[3] dan sebagainya.
            Sungai ini tidak kesunyian boleh dikatakan setiap hari sungai ini dikunjungi oleh penduduk kampung. Hal ini kerana, pagi dan petang penduduk kampung akan datang untuk mandi, mencuci pakaian dan sebagainya. Bukan itu sahaja, menjala ikan dan memancing adalah rutin harian penduduk kampung. Benarlah kata seorang falsafah mengatakan bahawa manusia tidak boleh dipisahkan dengan air.
            Kebetulan sungai yang dipenuhi dengan pokok rukom ini berhampiran dengan sebuah perkampungan. Apabila penduduk kampung hendak ke sungai tersebut dan ditanya oleh orang kampung dengan ringkas mereka menjawab “hid rukom”. Sikap penduduk kampung yang begitu suka memberi jawapan ringkas akhirnya sungai itu diberi nama Sungai Rukom sekaligus dijadikan nama kampung iaitu Rukom Ulu.



PENDAHULUAN
            Sejarah gereja PCS semuanya bermula di Borneo Utara (Kudat). Salah satu gereja terawal yang telah ditubuhkan oleh para missionari, penginjil dan juga penulung di daerah Pitas ialah Gereja PCS Rukom Ulu. Seiring dengan peredaran masa gereja PCS Rukom Ulu juga sama seperti kebanyakan Gereja PCS yang lain dimana telah mengalami banyak perubahan termasuklah lokasi, kepimpinan, cara beribadah dan secara ringkasnya dalam segala hal yang berkaitan dengan Gereja. Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat banyak cabaran ketika proses perubahan berlaku lebih-lebih lagi ada sebilangan anggota jemaat yang masih berfikiran kuno, tidak mahu adanya sebarang perubahan.
            Sesuatu perubahan itu adalah sangat perlu dan wajib dilaksanakan mengikut peredaran masa dengan mengaris panduan Alkitab. Pada awalnya sebilangan anggota jemaat menentang keras kepada jemaat yang bertepuk tangan dan memainkan alat muzik apabila menyanyikan lagu pujian. Pemikiran seperti ini akhirnya dapat diperbetulkan apabila mereka terbaca ayat alkitab tentang hal ini. Pemikiran mereka salah kerana perkara yang sering mereka tentang sebenarnya tidak dilarang oleh Alkitab malah diggalakkan. “Hai segala bangsa, bertepuk tanganlah, elu-elukanlah Allah dengan sorak-sorai” (Mazmur 47:2)
            Puji Tuhan kerana gereja PCS Rukom Ulu khususnya, mengalami banyak perubahan tambahan pula perubahan yang berlaku mampu membawa kearah yang lebih positif.



BAB 2
SEJARAH KEDATANGAN INJIL DI DAERAH PITAS, PAROKIH DANDUN
            Pada awalnya penduduk yang ada di daerah pitas kebanyakannya masih mengamalkan adat dan kepercayaan nenek moyang. Masih banyak yang belum mendengar Khabar Baik itu. Namun dengan pekerjaan Tuhan semua ini berubah apabila Tuhan telah mengutus hambanya iaitu Rev. Eric Gugger untuk melayani/menyampaikan Berita Baik kepada penduduk kampung yang ada di sekitar daerah Pitas.
            Kemasukan atau perpindahan agama keluarga pertama di kampung Masangkung mendapat perhatian khusus daripada suku kaum Rungus. Pada mulanya suku kaum Rungus masih meragui agama Kristian tetapi lama-kelamaan fikiran mereka berubah kerana mereka melihat rakan-rakan mereka yang telah menganuti agama Kristian terbebas daripada segala adat istiadat nenek moyang yang amat merumitkan itu. Contoh adat istiadat nenek moyang suku kaum rungus adalah terpaksa mengorbankan berpuluh ekor ternakan untuk diserahkan kepada Rogon supaya dijauhkan dari penyakit dan beberapa benda yang tidak boleh dibawa masuk ke dalam bilik iaitu jantung pisang, Saging[4] dan Rolibu[5]. Kepercayaan kuno ini hanya merugikan kerana dikorbankan begitu sahaja tanpa sebarang hasil maksudnya sama sekali tidak mendatangkan kesembuhan.[6]
            Atas kesedaran tentang kebaikan perubatan moden yang telah diperkenalkan oleh missionari, semakin ramai orang Rungus memeluk agama Kristian dan beralih kepada perubatan moden. Mereka mendapati bahawa tuhan yang selama ini mereka sembah tidak dapat memberikan perlindungan kepada mereka sebagaimana Tuhan yang diperkenalkan oleh missionari dapat dilakukan.[7]
            Kepercayaan tentang kebaikan menganut agama baru ini semakin menebal dalam kalangan suku kaum Rungus apabila melihat bagaimana pihak missionari membantu anak-anak mereka mendapatkan pendidikan. Dalam masa kurang daripada 15 tahun beberapa orang Rungus yang telah menerima pendidikan awal di sekolah mission mula menjawat jawatan penting dalam kerajaan. Malah sebahagian daripada mereka juga telah bergelar “Yang Berhormat”.[8]
            Penerimaan Injil dari kampung-kampung sangat memberangsangkan penerimaan injil yang pertama adalah di kampung Masangkung pada tahun 1952. Ronggu, Lajong, Tiga Papan dan Kudungkung Kimihang pada tahun 1953. Kumbatang, Morolobou, Suang Pai, Loro Kecil dan Garau pada tahun 1954. 1955 di kampung Barambangan. Popot dan rampai pada tahun 1956. Angkob, Vingolon dan Tuhau pada tahun 1957. Rondomon pada tahun 1958. Tinangol dan Radtak pada tahun 1959 dan 1962. Seterusnya, narandang dan molong kolong pada tahun 1963. Pada tahun 1964 penerimaan terus Injil terus terjadi di Garib, Mompilis, Bodu, Kirangavan, Botutai, Baving, Dalas, Liu, Dandun, Pantai, Boribi, Golong, Lingkuton, Taradas, Sulakolung, tangkarason dan di Rukom Ulu pada tahun 1966.[9]
            Peningkatan penerimaan ini semakin meningkat dua kali ganda daripada tahun-tahun yang sebelumnya dan hal ini menyebabkan keperluan tenaga kerja yang banyak sangat diperlukan untuk mengembalai disetiap kawasan yang telah menerima Injil. Susulan daripada itu banyak missionari telah dihantar ke kawasan-kawasan awal penerimaan Injil antaranya Rev.E. Gugger. Rev.E. Gogger telah dihantar ke Sungai Iloi untuk melayani pada tahun 1964. Kedatangannya disambut dengan mesra oleh sebilangan penduduk kampung, salah satunya ialah En Somuoi.[10] Pelayanan Rev.E. Gogger sebagai penginjil pertama di Suang Iloi hanya bertahan selama tiga tahun sahaja iaitu dari tahun 1964 hingga 1967 dan diganti oleh Rev.U. Zimmer pada tahun 1968 hingga 1969.
            Sebelum parokih Dandun dipilih menjadi parokih Dandun, Sungai Iloi adalah pusat parokih wilayah tiga. Pada tahun 1970 pusat parokih wilayah tiga ini dipindahkan ke Dandun pusat. Rasional bagi pemindahan Parokih ini adalah para missionari mendapati bahawa Dandun Pusat memiliki keistimewaan dari segi bentuk geografinya yang sangat strategik. Mereka yakin dan percaya bahawa dengan keistimewaan yang dimiliki mampu membantu perluasan dan juga kelancaran penyebaran Injil.[11] Injil diterima dengan baik oleh penduduk kampung yang ada disekitarnya.

BAB 3
SEJARAH PENUBUHAN GEREJA PCS RUKOM ULU
            Keistimewaan yang dimiliki benar-benar membantu kelancaran penyebaran Injil sehinggakan tersebar di seluruh perkampungan sekitar Dandun termasuklah kampung Rukom Ulu. Orang yang pertama dipertanggungjawabkan untuk menyampaikan Injil ke kampung Rukom Ulu adalah En. Mogimbang, beliau merupakan seorang penulung, penginjil dan manaaud puruvan di salah sebuah kampung (tidak dapat dipastikan dengan jelas). Penginjilan beliau bermula di Rukom Ulu pada tahun 1967.
            Suatu kebiasaan bagi seorang Pelayan Tuhan tidak diterima atau ditolak oleh orang ramai ketika menyampaikan Injil. Apa yang telah dirasai oleh para missionari dan Pelayan Tuhan terdahulu itu jugalah yang dirasai oleh beliau. Namun tidak dinafikan bahawa ada individu-individu yang tidak menolak melainkan berkeinginan untuk mendengar seterusnya mahu mempelajari Firman Tuhan. Orang pertama yang berani mengambil keputusan untuk mengubah agama ini adalah keluarga En. Moguntal pada tahun 1967.


Gambar 1:       Pdt Tpk Moguntal bersama dengan Isteri. Keluarga pertama menerima Yesus Kristus di Kampung Rukom Ulu.

            Setelah menerima Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Juruselamat, beliau begitu rapat sekali dengan En. Mogimbang sampai pada suatu masa beliau katakan kepada En. Mogimbang “obuli kinoi ong missingilo oku dot penulung”, “obuli bino” kata En. Mogimbang. Tiga hari selepas itu, beliau telah dibawa oleh En. Mogimbang ke Dandun untuk menghadiri suatu mesyuarat bersama dengan missionari, hal ini pun dibentangkan oleh En. Mogimbang. Hasil daripada perbincangan itu, maka sebulat suara mesyuarat menerima permohon En. Moguntal dan para missionari merancang untuk membina sebuah rumah untuk beliau ditengah-tengah antara kampung Rinasuk dengan Rukom dengan tujuan untuk mengembalai kedua-dua jemaat ini.
            Tidak lama selepas mesyuarat itu, timbul rasa tidak puas hati dan cemburu dalam kalangan pemimpin jemaat. Mereka tidak berpuas hati dan cemburu akan apa yang telah diberikan oleh missionari kepada beliau. Akibat daripada peristiwa itu, maka rancangan sebelum ini dibatalkan dengan serta-merta. Pada waktu itu En. Moguntal masih lagi mengikuti mesyuarat dan belajar di Dandun. Setelah selesai barulah beliau diberikan pelan untuk menginjil dan manambayang di Rinasuk, Kabatasan dan Rukom.
            Setelah beberapa lama menjadi Penulung akhirnya beliau dijadikan tumpuk hasil daripada perbincangan missionari dan Ketua-ketua Majlis Gereja waktu itu. Dengan itu, fokus pelayanan beliau khusus di satu tempat sahaja iaitu di kampung Rukom Ulu. Meskipun pelayanannya hanya berfokuskan di satu tempat sahaja namun bebanan itu tidak ada bezanya seperti mengembalai tiga jemaat. Beliau bukan sahaja berperanan sebagai Tumpuk/Penulung tetapi juga berperanan sebagai ketua majlis. Semua perkara yang berkaitan dengan gereja beliau yang uruskan.
            Meskipun begitu kampung Rukom Ulu adalah hasli gabungan 3 buah kampung kecil iaitu Rukom, Longom dan Minaton[12]. Beliau yang dipertanggungjawabkan untuk mengembalai ketiga-tiga kampung kecil ini. Beliau dan keluarga tinggal di Longom. Jarak Longom dengan Rukom Ulu kira-kira 2 km dan 2 km ke Minaton.
            Pada waktu itu gereja belum ada dan mereka hanya sembahyang di rumah panjang Minaton dan sekarang tempat ini menjadi tapak Sekolah SK Rukom Ulu, Pitas. Rumah Panjang Minaton ini memiliki 13 pintu dan ada 13 keluarga yang menghuni Rumah Panjang ini. Selain itu, beliau juga melayani jemaat dari rumah ke rumah, sembahyang dan mendoakan orang sakit.[13]
            Setelah beberapa lama melayani seorang diri akhirnya beliau dibantu oleh Penulung Mathis Mandie. Mathis Mandie berasal dari kampung Menduring tetapi tinggal di kampung Layang dan seterusnya menetap di kampung Rukom Ulu apabila beliau berkahwian dengan wanita yang dicintainya, Rainih Binti Majuki. Pelayanan Mathis Mandie sebagai Penulung hanya bertahan selama lima tahun sahaja dari tahun 1977 hingga tahun 1982. Pada tahun 1975 adalah tahun terakhir mereka sembahyang bersama-sama di Rumah Panjang Minaton. Semua penghuni Rumah Panjang mahu mengusahakan tanah masing-masing tambahan pula dasar politik ketika itu. Parti politik BERJAYA memenangi pilihan raya dengan itu sebagai balasan kepada rakyat parti politik ini memberi bantuan kepada penduduk kampung sebuah rumah setinggan yang sudah siap dibina.









Gambar 2: Mathis Mandie dan isteri, Rainih Binti Majuki, terkini 2016
            Sejak hari itu, perubahan cara beribadah berubah secara drastik di mana mereka beribadah dari satu rumah ke satu rumah yang lain. Kerja Penulung semakin menyulitkan hal ini kerana mereka terpaksa mengatur jadual ibadah umum setiap minggu. Bukan itu sahaja, mereka juga terpaksa berkorban dari segi tenaga, masa dan juga kewangan untuk mengunjungi rumah jemaat yang jaraknya begitu jauh. Antara tujuan utama kunjungan dilakukan adalah bagi memastikan jemaat sentiasa menghadirkan diri untuk beribadah bersama-sama.
            Puji Tuhan! Pada tahun 1988 gereja pertama telah dibina. Gereja ini dibina di perumahan tepat ditengah-tengah rumah En. Rudy Majuki dan En. Mansih. Gereja ini hanya bersaiz 16 x 20. Meskipun begitu gereja ini tidak mampu menampung jemaat yang ada, namun itu bukanlah suatu penghalang bagi jemaat Tuhan untuk beribadah. Ibadah umum setiap hari ahad semakin konsisten hal ini kerana adanya tempat khusus untuk beribadah.
            Setelah adanya gereja maka secara tidak langsung berlakunya perubahan dalam carta organisasi dan tuntutan semakin meningkat. Bagi mengelakkan daripada berlakunya pemusatan kuasa maka dengan itu Tumpuk Moguntal bin Rumandak melantik En. Bom Rumipoh sebagai Ketua Majlis Gereja yang pertama PCS Rukom Ulu dan lantikan ini disokong oleh sejumlah anggota jemaat ketika itu.
            Keberadaan gereja PCS Rukom Ulu tidak begitu berkekalan lama, sebilangan penduduk kampung antaranya En. Rudy Majuki dan En. Mansih mengadu bahawa mereka kurang selesa dengan kedudukan gereja tersebut tambahan pula gereja ini sempit (kecil). Akibat daripada aduan dan keluhan tersebut maka pada tahun 1993 gereja kedua mula di bina. Gereja memperolehi sumber dana daripada kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS) sebanyak RM 20,00.00. Gereja kedua ini digunakan sehingga hari ini.

Gambar 3:       Bangunan Gereja kedua PCS Rukom Ulu, pandangan hadapan









Gambar 4:       Bangunan Gereja kedua PCS Rukom Ulu, pandangan sisi


BAB 4
SECARA RINGKAS PERKEMBANGAN GEREJA PCS RUKOM ULU DARI TAHUN 60-AN SEHINGGA 2016[14]
            Dari penubuhan sampailah sekarang PCS Rukom Ulu mengalami banyak perubahan dan setiap perubahan mempengaruhi perkembangan gereja PCS Rukom Ulu. Berikut merupakan antara perkembangan dan pembaharuan yang dialami oleh gereja PCS Rukom Ulu:
  1. Peningkatan jumlah persembahan dari tahun 60-an sehingga sekarang, 2016.
Peningkatan ini berlaku dari semasa ke semasa. Pada tahun sekitar 60-an hingga 90-an pungutan wang persembahan setiap minggu adalah sebanyak RM 7.00 ringgit sahaja, paling banyak RM 16.00 seminggu itu pun mengikut keadaan semasa. Menurut beberapa pemerhatian dan pengalaman AJKG ketika itu, jemaat tidak berani memberi wang persembahan yang banyak kerana dengan alasan, wang tersebut sama sekali tidak digunakan maksudnya mereka tidak melihat langsung kegunaan duit tersebut. Namun apa yang difikirkan oleh jemaat itu salah kerana bagaimana mungkin wang persembahan yang begitu sedikit mampu menunjukkan hasil yang begitu cepat, setidak-tidaknya memerlukan masa yang panjang untuk melihat hasil wang tersebut. Syukur dan puji Tuhan, perlahan-lahan akhirnya jemaat mulai sedar bahawa wang persembahan itu sebenarnya digunakan untuk kemuliaan Allah/Tuhan. Pada tahun 2009 pungutan wang persembahan setiap minggu mendadak kepada RM 70.00 dan paling banyak mencecah sehingga RM 160.00 (ibadah biasa belum perayaan Natal dan perayaan-perayaan lain).
Graf 1: Menunjukkan kedudukan kewangan
Dijangka pada tahun 2020 peningkatan akan berlaku. Rasional bagi jangkaan ini adalah peningkatan anggota jemaat akan berlaku dan taraf ekonomi jemaat akan semakin baik.

  1. Perkembangan Jumlah Anggota
Bilangan keluarga sebelum tahun 2016 jemaat PCS Rukom Ulu hanya memiliki 38 anggota keluarga sahaja tetapi setelah bancian dilakukan baru-baru ini anggota keluarga meningkat kepada 54 keluarga, tidak termasuk keluarga yang tidak aktif (berada di luar negeri). Mereka yang telah dibaptis sahaja termasuk dalam perkiraan ini.
Graf 2: Menunjukkan purata peningkatan bilangan keluarga bagi tiap-tiap tahun yang dinyatakan.

  1. Perkembangan Kerohanian Jemaat
Jika dibandingkan kerohanian jemaat yang dahulu dan sekarang terdapat begitu jauh perbezaan. Kerohanian pada masa kini semakin baik di mana anggota jemaat sudah boleh memahami erti kesatuan di dalam tubuh Kristus. Selain itu, pengetahuan mereka dalam soal memberi semakin tinggi, jemaat tidak begitu berasa was-was dalam memberi persepuluhan, ucapan syukur dan persembahan. Bukan itu sahaja, pengertian mereka dalam konsep “persembahan yang hidup” juga semakin tinggi dan terlebih dari itu mereka melayani dengan penuh pengabdian.



Gambar 5: Anggota jemaat berkerjasama menyiapkan bangunan gereja baru.
  1. Aset Tetap
Dibandingkan dengan dahulu gereja sama sekali tidak memiliki apa-apa aset, namun apabila menjelang tahun 2000 jemaat mulai memikirkan dan menitikberatkan tentang aset tetap. Satu-satunya aset utama Gereja adalah sebuah tanah berkeluasan seluas 6 ekar. Gereja merancang untuk menanam kelapa sawit di atas tanah berkeluasan 6 ekar ini.

  1. Pembinaan Gereja Baru PCS Rukom Ulu
Syukur dan Puji Tuhan kerana tahun demi tahun kewangan gereja menunjukkan peningkatan yang positif. Oleh itu, jemaat sebulat suara kewangan yang ada sekarang digunakan untuk membina sebuah gereja baru berstruktur konkrit bersaiz sebesar 30 x 60. Gereja baru ini dibina bersebelahan dengan gereja kedua PCS Rukom Ulu.







Gambar 6:       Gereja baru PCS Rukom Ulu, masih dalam proses pembinaan


BAB 5
AKTIVITI TAHUNAN GEREJA PCS RUKOM ULU[15]
 PCS Rukom Ulu telah menetapkan beberapa aktiviti tahunan yang perlu dan wajib dilaksanakan. Rasional bagi setiap aktiviti ini diadakan adalah bertujuan untuk meningkatkan kerohanian jemaat, mengukuhkan ikatan keluarga Kristus, pemuridan, penginjilan, saling menghargai, memupuk kerjasama dalam pelayanan Kristus dan melahirkan jemaat yang setia penuh pengabdian kepada Yesus Kristus. Berikut merupakan beberapa aktiviti tahunan yang wajip dilaksanakan:

  1. Kebaktian Rumah Tangga (KRT)
Kebaktian Rumah Tangga ini akan diadakan pada setiap hari khamis pukul 4:00 pm. Semua anggota jemaat digalakkan untuk mengikuti Kebaktian Rumah Tangga ini. Pengisian dalam kebaktian KRT ini adalah sembahyang khusus untuk keluarga di dalam rumah itu sahaja. Kebiasannya setelah selesai sembahyang tuan rumah ada menyediakan sedikit makanan ringan pada masa ini juga mereka akan mengambil kesempatan untuk bercerita, berkongsi pengalaman dengan Tuhan dan banyak lagi.








Gambar 7: suasana keadaan KRT

  1. Sambutan Hari Lahir Bersama
Sambutan hari lahir bersama ini akan diadakan pada setiap hujung bulan. Kebiasannya kek akan dibeli dengan menggunakan duit rukut[16] dan tidak dinafikan ada juga pribadi yang murah hati untuk menyediakan kek tersebut. Bagi majlis sambutan singkat Pendeta/Pengerusi Majlis akan mendoakan setiap pribadi yang menyambut Hari Lahir pada bulan tersebut.


A





Gambar 8: Suasana Sambutan Hari Lahir
  1. Gotong Royong Membina Gereja
Aktiviti ini baru sahaja dimasukkan dalam takwim gereja PCS Rukom Ulu. Oleh kerana ini adalah milik bersama dan persetujuan ramai maka dengan itu jemaat memutuskan bahawa pada setiap hari rabu semua belia dan bapa-bapa diwajibkan hadir (diwajibkan bagi mereka yang tidak bekerja) manakalah ibu-ibu pula di beri tanggungjawab untuk menyediakan sarapan dan juga makan tengah hari.

  1. Hari Kesyukuran Wanita
Hari Kesyukuran Wanita adalah suatu aktiviti yang wajip dilaksanakan untuk Persatuan Wanita PCS Rukom Ulu









gambar 9: suasana sambutan Hari Kesyukuran Wanita
 sejarah injil pcs rukom ulu. jahani. comSEJARAH INJIL PCS RUKOM ULU BY MATHIS JAHANI

  1. Hari Kanak-Kanak







Hari kanak-kanak akan diadakan pada setiap tahun dan wajip dilaksanakan dan aktiviti ini dikendalikan sepenuhnya oleh AJK Guru Sekolah Minggu dengan kerjasama Persatuan Wanita/Ibu-Ibu. Hari kanak-kanak ini diadakan adalah bertujuan untuk mempelbagaikan aktiviti praktikal dalam kelas Sekolah Minggu. Bukan itu sahaja, dalam program ini juga betujuan untuk melahirkan anak-anak Sekolah Minggu yang aktif dan cergas.
V




Gambar 10: Suasana keadaan aktiviti Hari Kanak-Kanak.

  1. Hari Belia/Kem Belia
Selain daripada aktiviti kanak-kanak dan hari wanita, Hari Belia juga turut dilaksanakan pada setiap tahun. Aktiviti hari belia tidak begitu menentu sekiranya kewangan belia mencukupi maka Kem Belia akan dilaksanakan tetapi sekiranya kewangan tidak mencukupi maka dengan serta merta perubahan akan berlaku. Belia merupakan suatu aset gereja yang sangat penting kerana suatu hari nanti merekalah yang akan menunjangi sebuah badan gereja. Dalam Kem Belia ini juga, peserta tidak tertumpu di jemaat sendiri sahaja malah juga dibuka kepada jemaat PCS lain.






j
Gambar 11: AJK Pelaksana bersama dengan peserta.



BAB 6
PELAYANAN PENGEMBALAAN YANG ADA[17]
Text Box: BELIAText Box: BADAN-BADAN PELAYANAN PENGEMBALAAN YANG ADA SEKARANG


 


Text Box: PERSATUAN WANITAText Box: KANAK-KANAK




1.   Jumlah Anggota Persatuan Wanita
semua perempuan yang sudah berumah tangga terus dimasukkan di dalam Persatuan Wanita. Jumlah ahli dalam Persatuan Wanita adalah seramai 26 orang.
1.1  Aktiviti Kerohanian Wanita
Antara aktiviti kerohanian Wanita adalah sembahyang pada setiap hari khamis. Pengerusi Wanita yang bertanggungjawab mengurus pelan pelayanan setiap hari khamis. Selain itu, sambutan hari lahir juga dilaksanakan oleh Persatuan Wanita ini. Bagi aktiviti ini Persatuan Wanita yang mengendalikan sepenuhnya dan aktiviti ini disambut di rumah pribadi yang merayakan hari lahir tersebut.
1.2  Aktiviti Kerohanian Tetap Tahunan
Kebiasannya Persatuan Wanita ini akan mengikuti rentak Parokih. Apa yang parokih telah tetapkan maka itulah yang mereka ikut. Antara aktiviti tetap parokih adalah Perayaan Krismas, sukan dan Keloring. Selain itu, pada masa-masa tertentu mereka akan mengadakan suatu lawatan seperti baru-baru ini Persatuan Wanita mengadakan lawatan ke Labuan (setahun sekali). Pengisian dalam program ini adalah sembahyang bersama jemaat yang mereka lawati.
1.3  Aktiviti wanita Bukan Rohani
Selain daripada aktiviti kerohanian tetap Persatuan Wanita juga mempunyai aktiviti bukan rohani antara aktiviti tersebut adalah menebas, merumput dan mengatam padi. Aktiviti ini merupakan antara altenatif lain menambahkan kewangan Persatuan Wanita.

2.   Jumlah Belia PCS Rukom Ulu
PCS Rukom Ulu memiliki kekuatannya yang tersendiri di mana PCS Rukom Ulu memiliki belia seramai 50 lebih tetapi yang aktif dan menetap di Kampung hanya seramai 30 orang.
2.1  Aktiviti Kerohanian Belia
Tidak ada aktiviti kerohanian Belia yang tetap, hal ini kerana masing-masing mempunyai kometmen yang tersendiri. Ada yang masih belajar dan tinggal asrama dan ada juga yang sudah bekerja di luar negeri. Persekutuan Belia akan dilaksanakan apabila cuti sekolah menjelang tiba.
2.2  Aktiviti Kerohanian Tetap Tahunan
Keroling adalah Aktiviti kerohanian tetap Belia dan wajib dilaksanakan setiap tahun.
2.3  Aktiviti Belia Bukan Rohani
Ada masa-masa tertentu Belia akan bekerja menebas dan merumput di tanah/kebun jemaat. Ini merupakan antara altenatif lain bagi belia untuk menambahkan kewangan yang ada. Aktiviti ini akan dilaksanakan sekiranya ada jemaat yang mahukan perkhidmatan ini.

3.   Jumlah Kanak-Kanak Sekolah Minggu
Jumlah Kanak-Kanak Sekolah Minggu khususnya jemaat PCS Rukom Ulu adalah seramai 41 orang tidak termasuk jemaat yang tinggal di Kota Kinabalu.
3.1  Aktiviti Kerohanian Tetap Tahunan
Keroling kanak-kanak adalah antara aktiviti kerohanian tetap tahunan dan wajib dilaksanakan. Selain itu, Hari Kanak-Kanak juga termasuk dalam aktiviti kerohanian tetap tahunan.

BAB 7
CABARAN YANG DIHADAPI[18]
            Setiap gereja memiliki kekuatannya yang tersendiri untuk menguruskan dan mengatur segala hal khususnya yang berkaitan dengan gereja, namun benarlah kata Alkitab bahawa di dalam dunia ini tidak ada yang sempurna hanya Allah sahaja yang sempurna.
            Gereja PCS Rukom Ulu khususnya mengalami banyak cabaran dan mahu tidak mahu terpaksa juga diharungi. Antara cabaran yang dihadapi oleh Gereja PCS Rukom Ulu adalah kometmen jemaat yang berbeza-beza. Kebanyakkan pekerjaan penduduk kampung rukom hanya bertanih (bekerja sendiri) sahaja, mereka terpaksa meghabiskan masa yang banyak dikebun kerana inilah satu-satunya mata pencaharian mereka. Sekiranya mereka tidak bekerja maka mereka diibaratkan seperti “kais pagi makan pagi, kasi petang makan petang”. Berkebun bukanlah sesuatu yang mudah hal ini kerana mereka terpaksa berjuang ditengah-tengah panasnya terik matahari.
            Akibat daripada faktor pekerjaan maka dengan itu kurangnya kometmen jemaat di dalam pelayanan. Kadang-kala ada jemaat yang tidak dapat mengikuti ibadah umum kerana mengalami sakit badan akibat daripada seharian bekerja di kebun. Kebaktian Rumah Tangga dan juga gotong-royang kurang mendapat perhatian dalam anggota jemaat.
            Tuntasnya, ini adalah cabaran utama bagi jemaat PCS Rukom Ulu. Bagi menangani masalah ini, jemaat dan juga pemimpin gereja perlulah bijak dalam mengatur jadual pelayanan dan pengurusan masa, seboleh-bolehnya adanya masa untuk Tuhan.


BAB 8
CADANGAN DARIPADA SAYA UNTUK PENAMBAHBAIKAN
Setelah diberikan kesempatan untuk mengkaji jemaat sendiri, rupanya terdapat banyak kelemahan dan perlunya penambahbaikan.
Berikut merupakan cadangan daripada saya untuk penambahbaikan:
  1. Buat Bible study
  2. Menghantar belia yang berminat ke Pusat Pendidikan Teologi atau mana-mana seminary
  3. Menitikberatkan tentang pengurusan Gereja
  4. Mengambil seorang gembala tetap
  5. Buat persekutuan Belia setiap hujung minggu
  
KESIMPULAN
            Sebelum kedatangan Injil kehidupan masyarakat Rungus dan beberapa suku etnik lain begitu sukar sekali. Kehidupan mereka begitu terikat dengan adat dan kepercayaan yang mereka warisi dari nenek moyang. Kehidupan dipenuhi dengan pelbagai pantang larang dan itu sangat merumitkan. Kehidupan yang dipenuhi dengan kegelapan dan kesengsaraan akhirnya hilang apabila Injil datang di dalam kehidupan mereka. Kehidupan yang dahulu dipenuhi dengan pelbagai tanda tanya akhirnya menjadi pengharapan dan sukacita.
            Jika dibandingkan dahulu dan sekarang, penyebaran Injil itu semakin mudah tersebar kerana adanya bantuan seperti alat komunikasi yang canggih. Mujurlah ada individu-individu yang sanggup berkorban untuk menyampaikan injil itu suatu ketika dahulu, tanpa adanya mereka dan Tuhan Yesus maka kita masih terikat dengan adat dan kepercayaan nenek moyang, yang begitu merumitkan. Puji Tuhan!





                [1]Mathis Mandie,, Penulung sekitar tahun 70 an, wawancara oleh penulis, 4 September 2016.
                [2]Kampung Rukom Ulu sebelum mendapat nama.
               
                [3]Nama sejenis ikan air tawar dalam bahasa Rungus.
                [4]Saging adalah bakul yang digunakan oleh perempuan Rungus apabila pergi ke ladang.

                [5]Rolibu adalah tempat menampi padi

                [6]Majalah PCS 50, 1952-2002, 54.

                [7]Ibid, 55.

                [8]Ibid, 55.

                [9]Ibid, 56.

                [10]Pdt Porodong,, bekas gembala PCS Dandun Pusat, wawancara oleh penulis, 3 Julai 2016.

                [11]Pdt Porodong,, bekas gembala PCS Dandun Pusat, wawancara oleh penulis, 3 Julai 2016.

                [12]Tempat ini diberi nama Minaton kerana setiap hari pada waktu petang sering kali penduduk kampung melihat api dan juga orang berbaju putih (Rogon) di sekitar kawasan rumah panjang. Dalam bahasa Tombonuo (dalam) minat adalah hantu.

                [13]Rainih Binti Majuki,, penghuni rumah panjang waktu itu, wawacara oleh penulis, 4 September 2016.
                [14]Jofirin,, Ketua Majlis Gereja PCS Rukom Ulu, wawancara oleh penulis, 3 September 2016.
                [15]Rusiyim Bom, Pengerusi Wanita PCS Rukom Ulu, wawancara oleh penulis, 3 September 2016.
                [16]Pungutan wang yang telah ditetapkan dengan jumlah yang tertentu. Siapa sahaja yang sudi memberi.
                [17]Rusiyim Bom, Pengerusi Wanita PCS Rukom Ulu, wawancara oleh penulis, 3 September 2016.
                [18]Jofirin,, Ketua Majlis Gereja PCS Rukom Ulu, wawancara oleh penulis, 3 September 2016.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sejarah Injil Dandun

SEJARAH INJIL PCS UMUM             Kepulauan Borneo atau lebih dikenali pada masa kini Sabah, adalah sebuah negeri yang sangat bertuah kerana negeri ini memiliki bentuk muka bumi yang sangat strategik dan selamat untuk didiami tambahan pula kaya dengan bahan mentah. Kepulauan Borneo berbeza dengan kepulauan yang ada di sekitarnya, kepulauan ini selamat daripada bencana alam seperti gempa bumi atau letupan lava meskipun terdapat Gunung Berapai. Gunung Berapi tidak aktif ini lebih dikenali sebagai Gunung Kinabalu. Hampir semua orang yang tinggal di kepulauan Borneo ini sumber pendapatan mereka adalah bercucuk tanam namun tidak seorang pun yang mengetahui akan kesuburan tanah Gunung Berapi. Sabah kawasan yang terlindung. Angin taufan yang sering melanda Kepulauan Filipina pada umumnya menjauhi Sabah. Oleh itu, orang menyebut Sabah sebagai “Negeri Di Bawah Bayu” ( Land below the wind ). [1]       ...